"Mamat, tolong aku, tolong aku." Demikian jeritan sayu meminta tolong berulang kali dilaungkan Joeri Ramli, 34, kepada rakannya sebelum dia menemui ajal selepas terperangkap dalam kereta yang terbakar akibat dilanggar dari belakang oleh treler 60 tan di Kilometer 254.8, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara.
Dalam kemalangan kira-kira pukul 9.30 pagi itu, rakan mangsa, Muhammad Nasrullah Abd. Ghaffar, 28, yang duduk di bahagian penumpang hadapan terselamat dan hanya mengalami kecederaan ringan.
Kemalangan berlaku apabila treler dengan muatan barang besi yang dipandu di lorong kanan hilang kawalan ekoran brek tidak berfungsi semasa menuruni laluan bukit.
Ini menyebabkan treler berkenaan melanggar dan mengheret tiga buah kereta di hadapannya sebelum dua buah kereta terbabas ke kiri namun kereta mangsa, Honda Civic diseret sejauh kira-kira satu kilometer dan terbakar.
Menurut Muhammad Nasrullah atau Mamat, dia dan beberapa orang awam cuba membantu mangsa yang tersepit di dalam keretanya yang terbakar namun gagal ekoran api terlalu marak.